Salahkah perasaan itu...?
Bukan sekali dua, aku terpaksa melalui perasaan yang serba tidak kena dan kerisauan yang bagai tiada penghujungnya gara-gara yang tersayang disekeliling. Tidak dinafikan sukarnya menenangkan jiwa dikala itu. Terlalu mudah digoyah oleh pelbagai andaian mengelirukan yang mungkin terjadi pada orang disayangi.
Seringkali juga kerisauan yang terbuku terhambur jua pada si teman yang sudi mendengar. Dan dalam pada ramai yang menghulurkan simpati, kita sebenarnya berseorangan menghadapi segala yang terbentang di hadapan.
Namun sikap demikian juga ada tempiasnya. Kadangkala, ia mampu memesongkan paksi hidup kita selama ini. Aku atau anda tidak wajar menyalahkan diri jika mendapati hati tidak sanggup untuk menidakkan kegetiran yang terpaksa dilalui lantaran rasa kasih dan sayang sudah bertapak di sanubari. Kita perlu akur bahawa perubahan naluri dan perasaan adalah diluar bidang kuasa kita sebagai manusia lantaran ia adalah prenogatif Pencipta
Pernah juga aku terfikir, mengapa harus ada perasaan seperti itu yang sememangnya jarang mengundang ketenangan malah mungkin mengundang bebanan pada emosi. Tapi seketika aku terfikir, itulah tuntutan dari erti sebuah kasih sayang. Dikala yang tersayang terpaksa pergi jauh, menunggu si isteri agar selamat melahirkan atau menanti kepulangan seseorang dari perjalanan pulang, pastinya harus mengundang runtunan emosi dan jiwa.
Bukan maksudku untuk mengetepikan kasih sayang yang dianugerahkan oleh Pencipta pada kita cuma kita perlu bersederhana dalam mengendalikan segala yang dirasakan dan semua yang difikirkan agar kelak ia tidak mengundang kekesalan.
»»»Bila jiwa perlukan ketenangan, serahkan segalanya pada Yang Maha Mengetahui..
Posted at 5/19/2005 2:47:00 am by
melatimolek
Permalink